Dalam dunia ni hanya ada 4 spesies ikan Kaloi (Giant Gourami),kesemuanya hanya ada di Asia Tenggara dan 3 darinya turut wujud di Malaysia,iaitu:
• Osphronemus goramy (Kaloi Hitam atau Giant Gourami)
• Osphronemus laticlavius (Kaloi Sabah atau Giant Redtail Gourami)
• Osphronemus septemfasciatus (Kaloi Manah atau Giant Red Gourami).
Lagi satu spesies ialah Osphronemus exodon (Kaloi Telinga Gajah atau Elephant Ear Gourami) yang wujud di Thailand,Kemboja,dan Laos.
Ikan Kaloi yang paling meluas taburannya ialah Kaloi Hitam,ia boleh ditemui hampir di seluruh Malaysia,Indonesia,Thailand,dan Kemboja,manakala Kaloi Sabah hanya ditemui di negeri Sabah,dan Kaloi Manah pula boleh ditemui di negeri Sarawak,Kalimantan (Indonesia),dan mungkin juga turut ada di Sabah.
Untuk makluman semua ikan Kaloi tergolong sebagai jenis ikan Sepat tapi ia adalah spesies ikan Sepat yang paling besar,kerana ia memang berada di dalam keluarga ikan Sepat iaitu keluarga Osphronemidae (Gourami).
Antara ciri-ciri khas yang menjadi identiti keluarga Osphronemidae ialah ia memiliki sepasang sirip pelvik yang panjang seakan sesungut,namun kepanjangan siripnya adalah pelbagai di bawah genus yang berbeza,contohnya Betta sp. (Pelaga) atau Parosphromenus sp. (Gorami Kecil) yang memiliki sirip pelvik yang pendek sedikit namun masih jelas kelihatan 'sesungut'nya.
Ikan Kaloi amat terkenal di dalam pasaran ikan hiasan di seluruh dunia,terutamanya Kaloi Hitam dan Kaloi Sabah,malahan ada beberapa variasi warna Kaloi Hitam yang terhasil dari pembiakan secara terpilih untuk mempelbagaikan pilihan dalam pasaran,seperti warna putih,albino,emas,dan sebagainya.
Ikan Kaloi Hitam juga agak terkenal dalam pasaran makanan khususnya di Indonesia,boleh dikatakan ia adalah antara menu yang terkemuka di sana dan dihidangkan dalam pelbagai jenis masakan.
Namun dukacitanya ikan Kaloi amat kurang diternak di Malaysia walaupun Kaloi Hitam adalah spesies yang sinonim dengan perairan air tawar Malaysia,begitu juga dengan Kaloi Sabah yang kebarangkalian adalah spesies endemik di Sabah. Kebanyakan stok yang diperolehi untuk pasaran adalah dari industri akuakultur negara jiran seperti Indonesia dan Thailand yang ada menternak ikan ini secara meluas. Namun Kaloi Manah setakat ini tiada diternak di mana-mana negara.
Selain itu,ikan Kaloi juga sudah semakin terkenal dalam sukan memancing terutamanya Kaloi Hitam dan Kaloi Manah,di atas faktor saiznya yang besar dan gigitannya yang kuat yang menjanjikan cabaran serta kepuasan pada pemancing.
No comments:
Post a Comment