Saturday 28 December 2013

Salam kepada semua,

blog ini akan mula berfungsi semula setelah lebih setahun tak berjalan, masalah untuk mendapatkan sambungan line internet merupakan sebab utama kenapa blog ini tak dapat dikemas kini. maklumlah lokasi ladang kami agak pendalaman juga. jangankan nak dapat broadband, bekalan air paip pun tak ada.

syukur kepada Allah. mulai tahun 2014 ni, akan dipastikan sekurang-kurangnya setiap minggu blog ini akan dikemas kini. Terima Kasih kerana sudi singgah ke blog ini. ilmu sama-sama la kita berkongsi.

PENGENALAN KEPADA TERNAKAN RED CLAW CRAYFISH


1.       Nama saintifik bagi Udang Kara Air Tawar ini adalah Cherax Quadricarinatus termasuk dalam keluarga Parastacidae, juga dikenali dengan panggilan RedClaw Crayfish. Berwarna biru laut dan sedikit tompok kemerahan. Bagi LAT jantina jantan, sepit hadapan/utama bersaiz lebih besar dari betina dan terdapat bahagian berwarna merah.


2.       Bagi mengenali LAT jantan dan betina, perhatikan di pangkal kakinya. Bagi LAT jantan, terdapat benjolan di kaki paling bawah dan bagi LAT betina, terdapat benjolan di kaki nombor tiga.


          Betina Jantan  


3.       Untuk menternak LAT baik sebagai hobi atau bagi tujuan komersial, asas pengetahuan dalam penternakan harus dipelajari terlebih dahulu. Memahami dan mengenali tabiat serta biologi LAT adalah perkara utama sebelum memulakan langkah dalam penternakan spesies ini.

4.       Perkara asas yang perlu difikirkan adalah tujuan pemeliharaan LAT tersebut. Adakah sebagai usaha kecil-kecilan bagi menghasilkan benih sahaja atau ingin dijalankan secara besar-besaran. Ini kerana sistem ternakan bagi kedua-dua proses tersebut adalah berlainan sama sekali walaupun pada dasar asas penternakanya adalah sama.

5.       Langkah pertama sebelum memulakan penternakan. Para pengusaha hendaklah memeriksa dan memastikan beberapa perkara terlebih dahulu sebelum sebarang kerja bermula.

·         Takat suhu air kolam/tangki (suhu yang sesuai adalah sekitar 20⁰ celcius hingga 28⁰ celcius) suhu melebihi 30⁰ celcius amat tidak sesuai.
·         PH air sekitar 6.7 hingga 7.8
·         DO sekitar 4.5 ml/l  hingga 6.7 ml/l
·         CO2 tidak melebihi 10ppm
·         Kadar Sifat Air antara 10⁰ hingga 20⁰ dH

6.       Penyediaan tempat pembiakan atau asuhan boleh menggunakan apa sahaja bentuk, seperti tangki simen, fiber, kolam tanah atau hapa malah kotak polistrien juga boleh digunapakai. Namun faktor kepadatan hendaklah diambil kira. Kadar kepadatan untuk LAT bersaiz 7 cm hingga 8 cm dengan berat purata 120 gram adalah 10 ekor untuk setiap meter persegi.


7.       Kadar kepadatan ini dapat memberi ruang kepada LAT bergerak agak bebas dan dapat mengurangkan pertembungan sesama mereka, ini kerana LAT sering mengalami proses moulting dan proses biologi ini memberi peluang kepada udang lain untuk memakan seseekor LAT yang sedang mengalami proses moulting tersebut. Perkara MOULTING ini akan di bincangkan di bab yang khusus berkaitan dengannya nanti.

Saturday 14 December 2013

SINOPSIS ‘PENTERNAKAN UDANG KARA AIR TAWAR’



SINOPSIS


1.       Crayfish RedClaw atau dikenali juga sebagai Lobster Air Tawar (LAT) merupakan spesis udang kara yang berasal dari Australia. Kini merupakan ternakan terbaru yang diusahakan di ladang/hatchery Fastharvest Aquaculture.

2.       Selama 2 tahun kajian penternakan LAT dijalankan bagi mencari kaedah terbaik bagi pemeliharaan dan juga pembenihan, dan pada tahun 2013, sebanyak 30 pasang induk LAT telah berjaya diasuh dan pembenihan berjaya menghasilkan lebih 1000 ekor anak benih LAT.



3.       Hasil dari penelitian yang telah dijalankan, penternakan LAT ini mempunyai kadar tumbuhbesar yang agak perlahan, ianya mengambil tempoh masa sekitar 8 hingga 9 bulan untuk mencapai saiz 7 hingga 8 inci. Dari sudut penternakan secara kecil-kecilan ianya tidak berbaloi tetapi jika dihasilkan secara komersial dan bijak mempelbagaikan bentuk pasaran maka ianya mampu memberikan pulangan yang lumayan.




4.       Dari sudut kos penternakan pula, di dapati kos makanan amatlah murah dan mudah di pelbagaikan bentuk makanannya, jika menggunakan pallet sebagai medium makanan, keperluan untuk ternakan 30 pasang induk dan 500 ekor anak benih bersaiz 1 inci ke 3 inci untuk tempoh seminggu hanya memerlukan 2 kilogram pallet starter dengan kadar pembahagian waktu makan sebanyak 2 kali sehari.

5.       Walaupun kos makanan adalah minimum, terdapat peningkatan kos di bahagian penyediaan tempat pembiakan/penternakan, ini kerana untuk mendapatkan output maksimum dan mencegah peningkatan kadar kematian, penyediaan tangki/kolam diperlukan dalam jumlah yang besar (tangki mengawan, tangki asuhan benih untuk pelbagai peringkat saiz , tangki induk bertelur, tangki induk jantan, tangki induk betina). Keperluan ini adalah satu kemestian jika LAT hendak diternak secara komersial.


6.       Selain dari perkara di atas, daya tahan penyakit LAT ini juga amat tinggi, ini memberi para pengusaha satu kelebihan dari sudut kos ubat-ubatan dan juga risiko kematian.

7.       Satu faktor yang penting dan tidak boleh dipandang ringan dalam penternakan LAT adalah kawalan suhu air. Ini merupakan kunci kejayaan penternakan spesies ini. Kawalan suhu ini perlu diawasi di semua peringkat penternakan.

8.       Penternakan LAT tidak memerlukan satu sistem yang kompleks, cukup sekadar sistem ternakan asas seperti kita memelihara ikan puyu atau sepat, tetapi untuk tujuan komersial, sesebuah ladang atau hatceri itu perlu mengamalkan standart S.O.P dan konsep Amalan Akuakultur Baik (APB/GAP).

9.       Apa yang penting, seseorang pengusaha penternakan LAT haruslah bijak mencari sumber makanan yang tinggi kandungan protein dengan kos yang murah serta tahu menyusun kadar pengeluaran ternakan mengikut kehendak permintaan pasaran bagi ternakan ini. Ini akan menjamin kejayaan sesuatu perusahaan LAT tersebut.