Saturday, 5 April 2025

Ini adalah hypsibarbus birtwistlei,yang dikenali sebagai ikan kerai perak. Ia kemungkinan adalah spesies ikan kerai endemik di lembangan Sungai Perak,maka ia adalah antara khazanah yang ada dari sungai tersebut. (Endemik bermaksud hidupan tersebut hanya wujud di sesuatu daerah/negeri saja)
Selain kerai perak,di Sungai Perak kini turut ada ditemui hypsibarbus wetmorei atau ikan kerai kunyit,namun sebenarnya ikan kerai kunyit sebelum ini tidak wujud di negeri Perak,taburan asalnya ialah di lembangan Sungai Pahang,ikan kerai kunyit yang ditemui di Sungai Perak adalah dari benih yang pernah dilepaskan sebelum ini.
Hypsibarbus birtwistlei mendapat namanya sebagai kerai perak kerana warnanya perak (silver) dan juga sebab lokalitinya,namun ia bukanlah sepenuhnya berwarna perak,di bahagian insangnya ada warna kekuningan sedikit,dan mungkin akan kelihatan jelas dalam keadaan tertentu.
Ia mudah dibezakan dengan kerai kunyit dari segi warna badan,kerana badan kerai kunyit berwarna kekuningan seperti kunyit,dan juga beza dari segi fizikal kerana ikan kerai perak memiliki badan yang rendah sedikit berbanding ikan kerai kunyit yang lebih tinggi dan lebar mirip sedikit seperti ikan lampam jawa (pendatang).
Kemungkinan ada 4 spesies ikan kerai (hypsibarbus) di Malaysia,dan sebahagian besarnya wujud di negeri Pahang (kecuali kerai perak),dan yang paling popular adalah ikan kerai kunyit. (Boleh tengok kesemua spesies kerai tempatan di video yang saya kongsikan di komen)
Bagi yang tak biasa melihat ikan kerai mungkin akan sangkakan ia adalah ikan lampam jawa (barbonymus gonionotus,spesies pendatang),tapi berdasarkan morfologi kesemua spesies ikan kerai sebenarnya banyak perbezaannya dengan ikan lampam,terutamanya dari segi bentuk sirip,sisik,kepala,badan,dan pelbagai lagi.
Semoga ikan kerai perak ini terus kekal terpelihara di Sungai Perak,kerana ia memang tiada diternak dan dibiakan dalam kurungan,dan boleh dikatakan ikan kerai perak sedang terancam dengan penurunan populasinya.
Kredit gambar: Penyangkal Akal
Kredit: FB Jejak Air Tawar






 

 Sila ambil perhatian semua,kalau korang ada terjumpa ikan di dalam gambar ini sila hebahkan dan maklumkan lokasi yang ditemui,dan boleh tag Jabatan Perikanan Malaysia (page yang tanpa kurungan 'DOF') untuk makluman mereka. Ini adalah Sarotherodon melanotheron atau dikenali sebagai blackchin tilapia,iaitu sejenis ikan cichlid yang berasal dari afrika barat.


Antara ciri-cirinya yang mudah dikenali ialah badan dan kepalanya mirip oreochromis niloticus atau ikan tilapia hitam,namun di dagunya ada warna hitam yang pekat dan ada tompok hitam di sebelah insangnya,dan kadangkala ada kelihatan warna merah jambu sedikit di insangnya.

Setakat ini,memang belum ada lagi penemuan ikan ini di perairan negara kita,namun ia telah pun menjadi invasif di perairan negara jiran kita iaitu Thailand kerana telah membiak secara tidak terkawal,kerana sifatnya dengan tilapia hitam sama saja,ia adalah jenis mouthbrooder (simpan telur dalam mulut hingga menetas),maka telurnya tiada pemangsa.

Apa yang di khuatiri ialah jika ikan ini ada dibawa masuk ke Malaysia sama ada oleh penternak atau kedai ikan hiasan,kerana ikan ini kini adalah ikan komersial terutamanya dalam pasaran basah.

Tambahan lagi,ikan ni di benua asalnya sebenarnya lebih dominan di air payau,tapi taburannya meluas hingga ke perairan air tawar di sana,dan ia amat mudah beradaptasi di air masin. Senang kata,ia memang lasak dan boleh hidup di ketiga-tiga jenis perairan,seperti mana ikan tilapia hitam juga.

Nota: Di Malaysia tiada sebarang spesies dari keluarga cichlidae,yang ada semua adalah spesies pendatang (antaranya adalah tilapia dan peacock bass). Pristolepis sp. (ikan patung) pula bukan sejenis ikan cichlid walaupun kelihatan seperti ikan cichlid.

kredit: FB Jejak Air Tawar

 Bagi yang tak pernah lihat anak ikan patin buah (pangasius nasutus),ini antara gambar yang jelas dan menarik.


Seperti apa yang telah terangkan di post sebelum ini,bentuk kepala ikan patin buah ni seakan bentuk kepala ikan jerung,kerana struktur dari kepala ke pangkal sirip dorsalnya lebih rata berbanding ikan patin siam (pendatang) yang ketika ini membanjiri kebanyakan sungai di negara kita.

TAPI,apa yang wajib kita tahu ialah ada kewujudan spesies ikan patin buah pendatang di perairan Malaysia,iaitu pangasius conchophilus yang dikenali sebagai patin buah kemboja,kalau korang tengok ikan patin buah kemboja memang 99% mirip ikan patin buah tempatan dan mudah tertipu,sebab perbezaannya yang jelas bukan di luarannya tapi dalamannya.

Kredit gambar: Dr Zahar 
kredit : FB Jejak Air Tawar

 Ini adalah perbezaan struktur mulut di antara


A. Pangasianodon hypopthalmus (patin siam,pendatang)
B. Pangasius nasutus (patin buah)
C. P.hypopthalmus X P.nasutus (hybrid)

Seperti yang kelihatan,struktur tulang dan bentuk mulut di antara patin siam dan patin buah agak berbeza,mulut patin siam lebih lebar dan lebih ke hadapan berbanding mulut patin buah yang lebih ke dalam dan lebih sempit.

Manakala mulut patin hybrid lebih mengikuti ciri-ciri patin siam berbanding patin buah,maka patin hybrid masih boleh dibezakan dengan patin buah.

Selain struktur mulut,ciri-ciri morfologi lain seperti kedudukan mata,bentuk kepala,badan,dan ekor juga ada perbezaan di antara patin siam dan patin buah.

Seperti yang kelihatan,kedudukan mata patin siam menghampiri aras mulutnya,matanya lebih besar,kepala patin siam lebih memanjang,badannya lebih berbonggol di bahagian pangkal sirip dorsal,dan ekornya lebih besar.

Berbeza dengan patin buah yang mana kedudukan matanya lebih tinggi dari aras mulut,matanya lebih kecil,patin buah memiliki kepala yang lebih pendek dan membulat (seakan kepala ikan jerung),kurang berbonggol di bahagian pangkal siri dorsal (lebih rata pada spesimen dewasa),dan ekornya lebih kecil.

Manakala patin hybrid pula lebih dipengaruhi oleh ciri-ciri morfologi patin siam,kepalanya panjang,badannya berbonggol,dan ekornya besar,jadi tidak sukar untuk membezakannya dengan patin buah. Patin hybrid ni dah ada tau dalam perairan kita,proses hybrid ini juga dilakukan di Malaysia (saya tak nak mention projek siapa),tapi siapalah yang bijak sangat pergi lepaskan ke perairan,cukuplah kalau setakat untuk akuakultur.

Jika mengikut kertas kajian tentang ketiga-tiga ikan ini,ia ada sertakan sekali tentang perbezaan warna di bahagian dorsal (atas),tapi rujukan pada warna ini boleh jadi kurang tepat di kawasan tertentu kerana warna boleh dipengaruhi dengan persekitaraan habitat dan juga keadaan air.

Cuma secara asasnya patin siam biasanya berwarna kehijauan atau kebiruan sedikit dengan warna dasar yang kelabu gelap,begitu juga dengan patin hybrid yang lebih kepada kehijauan sedikit,dan berbeza dengan patin buah yang memiliki warna kuning keemasan sedikit atau plain saja.

* Kerana itu patin siam diletakan di bawah genus pangasianodon dan bukan pangasius,kerana ciri-cirinya lebih mirip kepada genus pangasianodon seperti pangasianodon gigas (patin mekong). Berbeza dengan ciri-ciri ikan patin dari genus pangasius,helicophagus,atau pseudolais,terutamanya struktur kepala dan bentuk badan.

Sumber gambar: Discrimination analysis of hybrid Pangasianodon hypophthalmus (Sauvage,
1983) (♀) × Pangasius nasutus (♂) (Bleeker, 1976) and it's parental species

Terbitan: Universiti Putra Malaysia

 Dalam dunia ni hanya ada 4 spesies ikan Kaloi (Giant Gourami),kesemuanya hanya ada di Asia Tenggara dan 3 darinya turut wujud di Malaysia,iaitu:


• Osphronemus goramy (Kaloi Hitam atau Giant Gourami)
• Osphronemus laticlavius (Kaloi Sabah atau Giant Redtail Gourami)
• Osphronemus septemfasciatus (Kaloi Manah atau Giant Red Gourami).

Lagi satu spesies ialah Osphronemus exodon (Kaloi Telinga Gajah atau Elephant Ear Gourami) yang wujud di Thailand,Kemboja,dan Laos.

Ikan Kaloi yang paling meluas taburannya ialah Kaloi Hitam,ia boleh ditemui hampir di seluruh Malaysia,Indonesia,Thailand,dan Kemboja,manakala Kaloi Sabah hanya ditemui di negeri Sabah,dan Kaloi Manah pula boleh ditemui di negeri Sarawak,Kalimantan (Indonesia),dan mungkin juga turut ada di Sabah.

Untuk makluman semua ikan Kaloi tergolong sebagai jenis ikan Sepat tapi ia adalah spesies ikan Sepat yang paling besar,kerana ia memang berada di dalam keluarga ikan Sepat iaitu keluarga Osphronemidae (Gourami).

Antara ciri-ciri khas yang menjadi identiti keluarga Osphronemidae ialah ia memiliki sepasang sirip pelvik yang panjang seakan sesungut,namun kepanjangan siripnya adalah pelbagai di bawah genus yang berbeza,contohnya Betta sp. (Pelaga) atau Parosphromenus sp. (Gorami Kecil) yang memiliki sirip pelvik yang pendek sedikit namun masih jelas kelihatan 'sesungut'nya.

Ikan Kaloi amat terkenal di dalam pasaran ikan hiasan di seluruh dunia,terutamanya Kaloi Hitam dan Kaloi Sabah,malahan ada beberapa variasi warna Kaloi Hitam yang terhasil dari pembiakan secara terpilih untuk mempelbagaikan pilihan dalam pasaran,seperti warna putih,albino,emas,dan sebagainya.

Ikan Kaloi Hitam juga agak terkenal dalam pasaran makanan khususnya di Indonesia,boleh dikatakan ia adalah antara menu yang terkemuka di sana dan dihidangkan dalam pelbagai jenis masakan.

Namun dukacitanya ikan Kaloi amat kurang diternak di Malaysia walaupun Kaloi Hitam adalah spesies yang sinonim dengan perairan air tawar Malaysia,begitu juga dengan Kaloi Sabah yang kebarangkalian adalah spesies endemik di Sabah. Kebanyakan stok yang diperolehi untuk pasaran adalah dari industri akuakultur negara jiran seperti Indonesia dan Thailand yang ada menternak ikan ini secara meluas. Namun Kaloi Manah setakat ini tiada diternak di mana-mana negara.

Selain itu,ikan Kaloi juga sudah semakin terkenal dalam sukan memancing terutamanya Kaloi Hitam dan Kaloi Manah,di atas faktor saiznya yang besar dan gigitannya yang kuat yang menjanjikan cabaran serta kepuasan pada pemancing. 

kredit: FB

Jejak Air Tawar